KANAK-KANAK MAUT KERETA BAPA DI REMPUH KETIKA BERHENTI DI LORONG KECEMASAN


Alor Setar: Hasrat seorang kanak-kanak untuk beraya dan menghadiri majlis kenduri akikah saudara di kampung tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 66.7 Lebuhraya Utara-Selatan hala utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Pendang, dekat sini, semalam.



Dalam kejadian jam 10 pagi, murid Sekolah Kebangsaan Jelutong Barat, Mohammad Nurhakimi Suzlisham, 10, yang berada di sebelah kanan tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan dalaman selepas kereta bapanya yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan dirempuh kereta lain.

Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

Bapanya, Suzlisham Salleh, 38, berkata, dia dan isteri, Suhana Sallehudin, 37, bersama tiga anak keluar dari rumah di Kuarters Perbadanan Bekalan Air (PBA) Jalan Padang Tembak, Ayer Hitam, Pulau Pinang jam 7.30 pagi untuk pulang berhari raya di kampungnya di Tanah Merah, Jitra.

Menurutnya, bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Saganya mengalami kerosakan apabila lampu minyak enjin tiba-tiba menyala menyebabkan dia memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan.

“Saya pada mulanya membuka bonet kereta untuk memeriksa kerosakan sebelum menghubungi adik untuk meminta bantuan.

“Saya masuk semula ke dalam kereta sementara menunggu bantuan sebelum tiba-tiba terkejut apabila Proton Pesona merempuh belakang menyebabkan kereta berpusing,” katanya.

Suzlisham berkata, dia terus memeriksa ahli keluarganya dan mendapati Mohammad Nurhakimi tidak sedarkan diri dan darah keluar dari telinganya.

“Bagaimanapun dua lagi anak saya, Muhammad Nurhanif, 4, dan Muhammad Nurhaikal, 9, yang turut berada di tempat duduk belakang tidak cedera.

“Mujur orang awam yang menyaksikan kejadian itu datang membantu dan membawa isteri dan anak ke hospital sementara saya tinggal di lokasi kejadian sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.

Dia yang bekerja di PBA berkata, mereka sepatutnya pulang pada malam kelmarin namun kerana kepenatan dia mengambil keputusan pulang pada sebelah pagi dan tidak menyangka kejadian itu berlaku.

Suhana pula berkata, anaknya paling gembira dan tidak sabar pulang berhari raya di kampung malah sebaik bangun tidur, dia terus mengejutkan dua lagi adiknya dan meminta mereka segera bersiap untuk pulang.

“Arwah tidak menunjukkan perubahan pelik dan dia anak yang baik walaupun mengalami sedikit masalah dalam pelajaran kerana lembam,” katanya.

Mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanah Merah, Jitra, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, Proton Saga yang mengalami kerosakan berhenti di lorong kecemasan sebelum tiba-tiba Proton Pesona merempuh belakang kereta terbabit.

“Lelaki yang memandu Proton Pesona berusia 23 tahun turut cedera dan menerima rawatan di HSB,” katanya.

0 comments: