TERBABAS DAN RENTUNG BERSAMA MPV


Pendang: Seorang lelaki ditemui rentung selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya terbabas sebelum terbakar di Kilometer 68.2 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Pendang, di sini, petang tadi.


Dalam kejadian 5 petang, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dikatakan memandu seorang diri dari arah Sungai Petani menghala ke Alor Setar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamalluddin Mat Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.12 petang berhubung kebakaran membabitkan kenderaan terbabit.

Beliau berkata, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi pada 5.29 petang.

Sebaik tiba di lokasi, kami dapati api sedang marak dan cuba memadam kebakaran sebelum menemui satu mayat dalam keadaan rentung di tempat duduk penumpang depan.

"Usaha mengeluarkan mayat itu berjaya dilakukan dan diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah bagi tindakan lanjut," katanya.

Katanya, operasi tamat pada 7 malam dan kenderaan MPV berkenaan musnah 100 peratus.

0 comments: