JOHOR BAHRU - Seorang pemandu lori berusia 52 tahun maut selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 12 Jalan Persekutuan arah Kempas ke Skudai, di sini, semalam.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pulai, C Kasevan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 10.14 pagi.
Menurutnya, enam anggota bersamanya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati sebuah lori telah merempuh sebatang pokok.
“Jentera kita keluar pada jam 10.15 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada jam 10.35 pagi mendapati benar berlaku kejadian kemalangan membabitkan sebuah lori yang terbabas.
“Mangsa dikenali sebagai Tan Kim Chong telah tersepit di tempat duduk pemandu dan cedera di bahagian kepala serta tangan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian kedua, mangsa mengalami kecederaan selepas melanggar belakang sebuah lori dalam kejadian di Batu 21 Jalan Kulaijaya menghala ke Ayer Hitam kira-kira jam 10 pagi semalam.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Masnawi Wardjin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 pagi sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian, anggota kita mendapati seorang pemandu lori berusia 44 tahun tersepit di tempat duduk pemandu.
“Mangsa dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya dan sebelum terlibat dalam kemalangan itu,” katanya.
0 comments: