Melaka: “Saya hanya mampu menjerit sebaik melihatnya diseret lori. Tidak dapat dibayangkan azab yang ditanggung mangsa ketika itu hingga menyebabkan badan saya menggigil,” kata Khairul, 23, saksi kemalangan maut yang meragut nyawa seorang remaja lelaki dalam kemalangan di Jambatan Jalan Tanjung Minyak, di sini, jam 5.30, petang kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Syukri Hakim Sharuddin, 19, yang juga pelajar tahun akhir Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Menurut Khairul, semasa kejadian, dia baru berjumpa rakannya dan dalam perjalanan untuk membeli juadah berbuka di pasar Ramadan berhampiran.
“Ketika kejadian, saya sedang berada di simpang sebelum meneruskan perjalanan dan sebaik menoleh ke kanan untuk melihat kenderaan lain, saya ternampak lori itu menghimpit sebelah kiri jalan sebelum terlanggar mangsa yang menunggang motosikal.
“Bagaimanapun, lori berkenaan tidak berhenti dan meneruskan perjalanan seperti biasa mungkin pemandu lori itu tidak sedar dia mengheret mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.
0 comments: