PELAJAR SEKOLAH MAUT BERSAMA SEKEPING NOTA KECIL


SEREMBAN – ‘Tuhanku ampunkan aku, sayangi aku, tutuplah aib-aibku, angkatlah darjatku, berikan aku rezeki, berikan aku petunjuk.'


Itu ayat tulisan tangan di atas sekeping nota kecil ditemui di tepi tangan seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang maut dalam kemalangan di Jalan Seremban - Kuala Pilah, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.50 pagi itu, mangsa, Dina Shuhadah Ahmad Fariz, 17, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 untuk ke sekolah dikatakan hilang kawalan dan terjatuh, sebelum digilis sebuah treler.

Kejadian malang itu berlaku tidak sampai 2 kilometer dari sekolahnya, Sekolah Menengah Teknik Tuanku Ja'afar, di sini.

Datuk mangsa, Osman Senara, 72, berkata, penemuan nota tersebut sangat menyentuh hatinya, lebih-lebih lagi ia dijumpai di tepi tangan kiri cucunya itu selepas kemalangan.

“Nota itu ada dengan saya. Bila saya membacanya, saya juga sangat sayu. Arwah anak kedua dari lima beradik dan seorang yang periang.

“Dia pelajar yang cemerlang dan bercita-cita nak jadi jurutera. Dia ada cakap nak belajar rajin-rajin supaya dapat semua A dalam SPM nanti macam kakak dia. Tapi tak sempat," katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham ialah Sabtu lalu ketika dia sekeluarga berbuka puasa di rumah seorang bapa saudaranya  di Taman Golf Height, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan dan bergesel dengan sisi kiri sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun di lorong kanan.

“Akibatnya, mangsa terjatuh menyebabkan sebuah treler yang membawa muatan batu konkrit di sebelah kanan tidak sempat memberhentikan kenderaan dan melanggar mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala.

 Muhamad Zaki berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Allahyarham Dina Shuhadah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, semalam.

0 comments: