WARGA EMAS MAUT KETIKA MAHU AGIH BUBUR LAMBUK

OSMA menunjukkan dua helai baju yang dibeli pada hari kejadian.

Jitra: “Malam sebelum kejadian, arwah beritahu ia malam terakhir dia menunaikan solat Tarawih kerana sakit kaki, malah turut bersalaman dengan dengan riak wajah berbeza,” kata Shuib Cha, 55, sepupu kepada Ismail Saidin, 64, yang maut dalam kemalangan di Kampung Permatang Paku, Air Hitam, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pida 5 Tengah, di sini, selepas mengambil bungkusan bubur lambuk di Wisma UMNO Air Hitam yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kemalangan.

Bagaimanapun, kereta Proton Wira dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam sungai mengakibatkan mangsa gagal menyelamatkan diri dan lemas dalam kenderaan.

Orang ramai yang melalui kawasan itu cuba membantu mengeluarkannya, tetapi mangsa dikatakan sudah meninggal dunia.

Menurut Shuib, arwah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Pida 5 itu dikatakan memandu seorang diri dan seorang yang sangat disegani di kampung itu.

Katanya, setiap petang, dia akan mengambil bubur lambuk untuk diagihkan kepada penduduk kampung berhampiran dan sepatutnya arwah pergi bersama seorang lagi rakannya, tetapi mereka pergi secara berasingan.

Isteri mangsa Osma Awang, 52, berkata, sebelum kejadian arwah dan menantunya Helmi Abdullah, 41, pergi ke pusat bandar Alor Setar untuk membeli dua helai baju putih untuknya kira-kira jam 10 pagi kelmarin dan pulang ke rumah pada waktu tengah hari.

Katanya, suaminya kemudian bersiap-siap untuk keluar semula pada jam 3.30 petang untuk mengambil bubur lambuk di Wisma UMNO berkenaan.

“Saya tidak benarkan suami pergi ke sana kerana sebelum ini dia beritahu sakit kaki, tetapi arwah memberitahu mahu membuat amal jariah kepada orang kampung sempena Ramadan menyebabkan saya akur dengan kehendaknya.

“Bagaimanapun, kira-kira sejam kemudian penduduk datang ke rumah memberitahu suami terbabit nahas,” katanya.

Jenazah Ismail dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Matang Bonglai, di sini, kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian.

0 comments: