TIGA BUAH LORI TERLIBAT KEMALANGAN MAUT BERHAMPIRAN TOL SENAWANG (26 JUN 2015)


SEREMBAN - Seorang pemandu lori maut dalam satu kemalangan yang membabitkan tiga buah lori dan sebuah kereta di KM253 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Plaza Tol Senawang dekat sini pukul 5.15  pagi tadi. 


Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata siasatan awal mendapati lori yang dipandu mangsa, L.Ravindaran, 39, yang ketika itu berada di lorong kiri lebuh raya telah melanggar sebuah lori yang membawa muatan kayu getah menyebabkan lori yang dipandu mangsa terbabas masuk ke lorong tengah.

"Mangsa kemudiannya telah melanggar sebuah lagi lori yang membawa muatan telur menyebabkan lori yang dipandu mangsa terbabas ke besi penghadang jalan.

Beberapa minit kemudian muatan kayu getah yang dibawa oleh K.Kumaraguru terjatuh di atas jalan raya menyebabkan ia telah dilanggar oleh sebuah kereta Nissan Teana di lorong kanan," katanya kepada media dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan itu menyebabkan Ravindaran maut di tempat kejadian akibat cedera parah manakala tiga yang lain termasuk pemandu Nissan Teana, Naib Presiden Telekom Malaysia Selangor Datuk Zaini Maatan, 54 tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat. Muhamad Zaki berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.

0 comments: