PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT SETA MERTA DILANGGAR LORI


Lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 16 Jalan Kulai-Kota Tinggi berhadapan pintu masuk Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, Samad Mian, 71, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian badannya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa ke arah Kulai tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

"Pada masa yang sama datang lori yang dipandu lelaki berusia 59 tahun menghala ke arah Kota Tinggi, yang cuba mengelak, namun berlanggar dengan penunggang motosikal itu.

"Akibat daripada pelanggaran itu, penunggang motosikal yang berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori muatan anak ayam itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

NGERI! REMAJA MAUT DIGILIS TRELER DEKAT SEPANG


SEPANG : Remaja maut digilis treler apabila motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum terperosok di bawah kenderaan berkenaan berhampiran Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Dalam kejadian 2.55 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Hadri Hosman, 19, berasal dari Taman Seremban Jaya, Seremban, Negeri Sembilan itu maut di lokasi kejadian. Mayatnya diseret lima meter oleh treler berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal dikatakan cuba memotong tiga kenderaan lain iaitu Toyota Avanza dan Nissan X-Trail termasuk treler berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa gagal memotong kenderaan itu sebelum hilang kawalan dan terperosok di bawah treler.

Mangsa mengalami pelbagai kecederaan parah dan maut serta-merta di lokasi kejadian, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat dan siasatan masih dilakukan.

AL-FATIHAH..