BUDAK SEKOLAH MAUT TERCAMPAK KELUAR DARI KENDERAAN DI SETIU


KUALA TERENGGANU : Murid tahun enam maut manakala sembilan rakannya cedera, seorang daripadanya parah dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Sungai Bari, Setiu.

Murid Sekolah Kebangsaan Batu 29, Setiu, Aqil Iskandar Azrol Affendi, 12, maut di tempat kejadian dalam kemalangan pada kira-kira 2 petang.

Rakannya, Che Ahmad Zakwan Abd Rashid, 12, parah di kepala dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Lapan murid yang cedera adalah :

1 Muhammad Arif Aziz

2 Amirul Hakim Kamaruzaman

3 Fakrul Fauzi,

4 Muhammad Aqif Danial Ramli,

5 Muhammad Iman Hakim Zul,

6 Muhammad Irwan Fahmi Muhamad Rosli,

7 Muhammad Faiq Hurairah Mahadi dan

8 Muhammad Nor Hariz Mohd Ismail

Kesemua mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Setiu.

Pemandu Toyota Innova, Nurul Shafikah Aziz, 21, yang cedera di kaki turut dirawat di Hospital Setiu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa, berkata kejadian dipercayai ketika mereka dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipercayai terbabas dan berpusing beberapa kali sebelum terbalik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, berdasarkan maklumat awal, 10 murid terbabit sedang mengikuti kem di sekolah mereka.

“Saya difahamkan, penyelia asrama meminta anak perempuannya menjemput seorang anaknya yang mengikuti kem itu di sekolah untuk balik makan.

“Tetapi, kita tidak tahu bagaimana sembilan lagi murid boleh ikut sama dan sekarang kita masih siasat sama ada murid yang terbabit itu diajak bersama atau atas permintaan mereka.

“Saya sudah arahkan Pejabat Pendidikan Daerah Setiu untuk menyiasat perkara ini,” katanya.

ANAK MAUT DEPAN MATA


Seorang ibu tergamam hingga hilang kata-kata apabila me­nyaksikan anak bongsunya maut akibat dilanggar sebuah kereta semasa melintas jalan untuk ke sekolah di Kilometer 7.8, Jalan Paka-Al Mukhtafi Billah Shah di sini semalam.

Rempuhan kereta Proton Persona tersebut menyebabkan Mohd. Syamil Harun, 10, yang merupakan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Santong, Paka di sini nyawa-nyawa ikan sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir di pangkuan abang sulungnya, Budiamin, 22, pada pukul 7.15 pagi.

Ibu mangsa, Hairah Abd. Rashid, 53, berkata, sebelum kejadian, anaknya yang berpa­kaian lengkap pasukan beruniform pengakap itu pada mulanya turun dari kenderaan pacuan empat roda, Nissan Frontier di tepi jalan.

“Namun, kemalangan itu berlaku dengan pantas. Ketika Mohd. Syamil melintas jalan untuk ke sekolah yang berada di seberang jalan tiba-tiba sebuah kereta Proton Persona dipandu oleh seorang wanita berusia 30-an merempuhnya.

“Rempuhan itu menyebabkan anak saya tercampak ke bahu jalan. Saya yang menyaksikan kejadian itu tergamam dan tidak tahu berbuat apa-apa sebelum anak sulung saya (Budiamin) yang turut berada di dalam kereta meluru keluar mendapatkan adiknya,” katanya

AL-FATIHAH..