WANITA MAUT LORI SAMPAH YANG DINAIKI TERBALIK DI JALAN MERU


SELANGOR : Seorang wanita maut manakala dua lelaki lain cedera apabila lori sampah dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Jalan Meru-Puncak Alam di sini, petang tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya, Pegawai Bomba Kanan II M Puspa Rajan berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan, kira-kira 2.30 petang.

"Setibanya di tempat kejadian, kita mendapati wanita dikenali sebagai Fatimah Abdul Hamid, 28, berada di luar lori berkenaan akibat tercampak keluar dan disahkan sudah meninggal dunia.

"Manakala, pemandu lori iaitu Mohamed Syafiq Abdullah, 32, tersepit di bahagian kaki sebelum berjaya dikeluarkan bomba daripada lori yang terbalik berdekatan besi pembahagi jalan itu," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian terdapat dua mangsa lain termasuk remaja lelaki berusia 15 tahun di dalam kenderaan terbabit.

"Namun, mereka diselamatkan orang awam dan seorang daripadanya dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

"Kes berkenaan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya memaklumkan lori itu datang dari arah Puncak Alam menghala ke Meru, Klang.

Kata Puspa Rajan, semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

0 comments: