ROLLING BARRIER PENGHADANG JALAN YANG LEBIH SELAMAT DAN MURAH


SELANGOR : Kita sering mendengar mahupun melihat kemalangan maut akibat melanggar pembahagi jalan besi, kini usaha dilakukan untuk mencuba pembahagi jalan lebih selamat dan sama-samalah kita berdoa semoga ia menjadi kenyataan.

Pembahagi jalan beroda dikenali sebagai ‘Rolling Barrier’ kini mula dicuba di pusingan U FT 15, Subang Jaya, 9 Disember lalu dan dijangka keberkesanannya dalam menghalang kemalangan maut dapat dirumuskan dalam tempoh tiga bulan ini.


Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Seri Dr Roslan Md Taha berkata, penghadang jalan beroda adalah penghadang jalan alternatif yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang boleh menghalang kemalangan maut.

Menurutnya, ia bukan hanya menyerap tenaga impak malah akan menukarkan tenaga impak kepada tenaga putaran.

“Setakat ini penghadang jalan beroda sudah dipasang di pusingan U FT 15, Subang Jaya sebagai langkah percubaan. Jalan ini dipilih berikutan keadaan selekoh jalan yang tajam dan kekerapan kenderaan terbabas,” katanya.

Menurutnya, sekiranya berkesan dan terbukti mengurangkan kemalangan, ia akan dipasang di lokasi yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan termasuk di selekoh tajam dan sepanjang tebing cerun.

“Namun ia bergantung pada bajet yang diluluskan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, rata-rata pengguna jalan raya meminta supaya pengunaan pembahagi jalan alternatif dilaksanakan bagi mengelak kemalangan maut.

Struktur besi pada pembahagi jalan digunakan buat masa ini dikatakan mempunyai bucu tajam berisiko tertusuk apabila melanggarnya.

Difahamkan ‘Rolling Barrier’ dikeluarkan syarikat ETI dari Korea Selatan itu menarik perhatian dunia apabila dikatakan mampu mengurangkan kadar kemalangan.

Teknologi ini terdiri daripada gabungan tiub keluli yang kukuh serta silinder plastik yang menyerap impak dan hentakan.

0 comments: