PENUNTUT KOLEJ MAUT KERETA REMPUH TIANG


Penuntut lelaki kolej komuniti maut selepas kereta yang dinaiki melanggar tiang elektrik di Baung, Pengkalan Chepa, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa Amer Akmal Mohd Zuhairie, 21, yang memandu kereta maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, ketika kejadian mangsa bersama rakannnya Muhammad Firdaus Mohd Suhaimi, 20, dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Pengkalan Chepa.

Katanya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai cuba mengelak kenderaan yang tidak dikenal pasti sebelum terbabas dan melanggar tiang elektrik.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang hadapan cedera ringan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

0 comments: