Seorang wanita maut, manakala tiga yang lain parah apabila kereta Proton Iswara yang dinaikinya terputus dua selepas merempuh tiang papan tanda kawasan perkelahan Jeram Toi, Jalan Seremban-Jelebu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 2 petang, wanita berusia 20-an itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Tiga lagi mangsa iaitu masing-masing dua lelaki dan seorang wanita berusia 20-an cedera parah dan dibawa ke Hospital Jelebu di sini, untuk rawatan lanjut.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu Mohd Zakri Abdul Razak berkata, sebuah jentera bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 2.06 petang itu.
“Kereta dipandu seorang daripada mangsa yang dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Kuala Klawang dipercayai hilang kawalan ketika melalui tempat kejadian.
“Kereta itu kemudian bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan sebelum terbabas melanggar tiang papan tanda menyebabkan kenderaan berkenaan terputus dua,” katanya.
Menurut Mohd Zakri, mangsa yang maut diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.
0 comments: