EMPAT ANGGOTA TENTERA MAUT TERCAMPAK KELUAR DARI TRAK


SIBU 31 Ogos - Empat anggota tentera maut manakala lapan yang lain cedera setelah trak tentera yang dinaiki terbabas sebelum melanggar sebatang dahan pokok di Jalan Oya, di sini semalam.


Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, Prebet Freedleeboy George, 27; Prebet Wan Farhan Fahmi Wan Azizan, 23; Prebet Ismail Borhan, 23 dan Prebet Mohd. Radzi Abdul Razak, 27, maut di tempat kejadian.

Difahamkan trak tentera Pasukan Rejimen 510 Askar Wataniah itu dalam perjalanan dari Kanowit ke sini dengan membawa 18 anggota.

Menurut sumber, enam anggota yang menaiki trak sama tidak mengalami sebarang kecederaan dan mangsa yang maut disebabkan kecederaan parah di kepala serta badan selepas tercampak keluar.

“Siasatan awal mendapati semasa tiba di lokasi kejadian trak berkenaan mengelak daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux dari arah bertentangan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang dahan pokok.

“Bahagian bumbung dan kanopi trak berkenaan mengalami kerosakan teruk. Kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat dan mangsa yang mengalami kecederaan juga dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Kamal Kordi yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments: