AYAH TEMUI AJAL SELEPAS BELI JUADAH TENGAHARI


Dungun: “Hati saya sebak apabila melihat nasi dan kuih-muih yang dibeli ayah bertaburan atas jalan,” kata Ahmad Rozi Ismail, selepas bapanya, Ismail Abdul Rahman maut dalam kemalangan di Kilometer 93.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Nyior Paka, semalam.


Dalam kejadian jam 7.30 pagi, Ismail, 70, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pinang Merah selepas membeli juadah sarapan di sebuah warung berdekatan.

Mangsa menunggang motosikal jenis Demak dipercayai cuba memasuki lorong kanan untuk membuat pusingan U namun bergesel dengan Toyota Wish yang datang dari arah belakang sebelum dirempuh kenderaan lain.

Ismail meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala pemandu kedua-dua kenderaan tidak cedera.

Ahmad Rozi, 45, berkata, sejak berhenti kerja sebagai tukang kebun, ibu bapanya menghabiskan masa menjaga cucu.

Menurutnya, kali terakhir bertemu bapanya pada petang kelmarin ketika mahu mengambil anak sulungnya.

“Saya tidak menghantar anak pada hari ini (semalam) kerana bercuti sebelum menerima panggilan daripada seorang saudara kira-kira jam 8 pagi memaklumkan ayah terbabit kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaakub berkata, jenazah dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments: