Kegembiraan tujuh sahabat pulang bercuti berakhir dengan tragedi apabila empat daripadanya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 9.9 Lebuh Raya Utara -Selatan Hubungan Tengah (Elite), Putra Height, Subang Jaya, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi itu, sepasang suami isteri iaitu Tan Eng Deng, 27, dan Lim Siew Thing, 25, maut selepas MPV Toyota Estima yang dinaiki terbabas ke bahagian kiri jalan sebelum melanggar pokok di tepi kiri jalan.
Kakak kepada Siew Thing, Lim Siew Peng, 26, dan seorang lagi sahabat mereka, Tan Loon Ping, 27, turut meninggal dunia di lokasi kejadian.
Empat lagi rakan iaitu Lim Pan Yong, 27, Tan Wei Ann, 20, dan Tan Chun Keng, 27, pula cedera parah dalam kemalangan itu.
Difahamkan, kesemua mereka baharu pulang bercuti dan dalam perjalanan ke rumah yang terletak di Banting.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, tiga mangsa yang mengalami cedera parah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan.
Siasatan awal menunjukkan tempat kejadian adalah jalan tiga lorong dengan satu lorong kecemasan serta terdapat kesan brek di permukaan jalan.
“Tempat kejadian tidak berpasir serta keadaan cuaca adalah baik, malah jalan diterangi oleh lampu jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Yahaya memberitahu, mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat dan dituntut ahli keluarga.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, usaha pemberita untuk menemubual keluarga di unit forensik, Hospital Putrajaya tidak berjaya kerana masing-masing masih dalam keadaan bersedih dan terkejut dengan kejadian itu.
0 comments: