BESI PENGHADANG RAGUT NYAWA ISTERI DAN ANAK


HULU SELANGOR – Kemeriahan Aidilfitri sebuah keluarga diragut apabila ibu bersama anaknya berusia setahun maut selepas kereta jenis Perodua Kenari yang dinaiki lima sekeluarga itu terbabit dalam kemalangan di Kilometer 403.9 Lebuhraya Utara Selatan dekat susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim, di sini, semalam.


Difahamkan, kejadian jam 5.51 pagi itu dipercayai berlaku selepas kereta yang dipandu   suami mangsa, Shahrul Raziman Osman, 33,  terbabas ke bahu jalan.

Kereta yang dipandu Shahrul kemudiannya merempuh besi pengadang di kiri jalan menyebabkan isterinya, Mahfuzah Ishak, 28, serta anak kedua, Muhammad Harraby Zafran, 1, yang berada di tempat duduk hadapan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R. Supramaniam berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang dalam perjalanan dari Pahang ke Kedah itu terbabas kerana pemandunya mengantuk.

“Rempuhan itu menyebabkan besi pengadang tertusuk di bahagian paha mangsa dan kita terpaksa meminta bantuan pihak bomba untuk memotong besi berkenaan bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.

Menurutnya,  mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Manakala, Shahrul, anak pertama mangsa, Nur Adni Afeefa, 3, dan ibu mangsa, Razimah Chik, 62, hanya mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke  Hospital Slim River.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Qhuirudin Tasrio berkata, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan  wanita terbabit yang tersepit dengan  besi pengadang jalan tertusuk pada pahanya.

“Kita memotong batang besi itu dan berjaya mengeluarkan mangsa manakala mayat bayi serta tiga lagi mangsa yang terselamat dikeluarkan orang awam,” katanya.

0 comments: