ARWAH SOFIAN ALI SEMPAT BERPESAN


Muar: "Kau hubungilah adik perempuan aku jika berlaku kejadian tidak diingini terhadap aku selepas ini," kata terakhir Sofian Ali kepada rakannya sebelum terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 141.7, Lebuhraya PLUS, arah utara berhampiran Plaza Tol Pagoh di sini, hari ini.


Adik perempuan arwah Sofian, Rafidah Ali, 36, berkata, kata-kata berkenaan diucapkan abangnya ketika bersahur bersama rakannya sebelum meneruskan perjalanan ke utara dengan menaiki lori kontena dipandu Ramlee Ishak, 42.

"Saya terharu arwah abang sempat berpesan kepada rakannya ketika bersahur dan mahu kejadian tidak elok dimaklumkan kepada saya," katanya.

Rafidah berkata, dia dihubungi oleh rakan abangnya memaklumkan kejadian kemalangan terbabit 6.45 pagi tadi.

"Saya antara ahli keluarga arwah yang terawal sampai ke bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar selepas bertolak dari rumah di Gemas, Negeri Sembilan.

“Saya begitu berat hati untuk memaklumkan kemalangan itu kepada kedua ibu bapa. Kalau boleh saya nak rahsiakan dulu daripada pengetahuan mereka kerana masing-masing mempunyai masalah kesihatan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ibu tabah menerima dugaan ini dan mereka bersungguh-sungguh untuk datang ke sini selepas dimaklumkan mengenai kemalangan,” katanya.

Dalam kejadian 5 pagi itu, empat lelaki maut termasuk seorang terputus dua apabila lori membawa muatan daging beku dan jagung dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh lori kontena.

Kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua pemandu dan kelindan kenderaan berkenaan maut di tempat kejadian.

0 comments: